لا أله الا الله محمد رسول الله

:: Madah PujanGGa ::

Wednesday, November 24, 2010

MaSih TaK PerCaya ?



Keesokan paginya, bergeraklah pemuda tersebut ke arah yang dinyatakan oleh Nabi Musa. Setibanya dia ke batu tersebut, dia pun bersembunyi. Terdapat sebuah mata air mengalir di bawah batu itu. Tidak lama selepas itu, datanglah seorang lelaki menaiki kuda. Setelah minum dan memberi minum kudanya, lantas dia berlalu pergi. "Eh, kantung airnya tertinggal,"bisik pemuda itu. Mahu rasanya dia berteriak kepada penunggang kuda tetapi hatinya menghalang. "Nanti, aku mahu lihat sejauh mana kebenaran kata-kata Musa mengenai tuhannya," senyum nakal terukir di bibir si pemuda.

Tidak lama selepas itu, datang seorang budak lelaki ke mata air tersebut. Demi terlihat kantung air yang ditinggalkan di atas batu, budak tersebut terus mengambilnya dan berlalu pergi. "Hei, itu kantung lelaki berkuda, jangan kau curi..." jerit pemuda di dalam hati. Dan seketika, terlihatlah olehnya seorang lelaki tua yang bertongkat menuju ke arah mata air tersebut. Melihatkan keadaannya, rasanya lelaki tua itu kurang penglihatan. Dengan bersusah payah, lelaki tua itu duduk berehat di atas batu tempat kantung air diletakkan dahulunya.

Tiba-tiba lelaki berkuda tadi datang kembali. "Hei orang tua, ada kamu lihat kantung airku di atas batu ini?" kasar suara lelaki itu. "Tidak nak, aku ini baru sahaja sampai di sini, lagi pula, untuk apakah aku mangambilnya?"jawab si tua perlahan. "Ah, bohong. Aku lihat kamu ini seorang yang tidak boleh dipercayai. Entah-entah kamu telah mengambil dan menyembunyikannya. Serahkan kembali kantung air itu orang tua, atau buruk padahnya..." suara ancaman lelaki tersebut benar-benar biadap."Tidak, tidak, aku tidak mengambilnya. Lihatlah keadaanku, mataku rabun dan hampir buta, mustahil aku mengambilnya, melihatnya pun tidak..."hujah si tua.

Tanpa disangka tanpa diduga, lelaki berang itu menghunus dan merodok belatinya ke perut si tua. Amarahnya meluap menutup akal warasnya. Si tua tewas di tangan gagah lelaki durjana. Dia memacu kudanya deras meninggalkan mata air, dengan darah di tangan yang masih merah basah.

Si pemuda tergamam. Segala peristiwa yang berlaku sepantas kilat, sukar difahami. Badannya menggigil melihatkan tubuh si tua longlai di atas batu. Dan dia meninggalkan mayat itu lantas menemui Nabi Musa.


"Wahai pemuda, sudahkah kamu melihatkan kebijaksanaan dan keadilan Allah?" sapa Nabi Musa seraya menyambut pemuda itu. "Sukar untukku percayai apa yang berlaku. Apakah ada keadilan di dunia ini? Di manakah tuhan ketika manusia benar2 memerlukannya? Mengapakah insan yang tidak berdosa terkorban tanpa pembelaan?" tutur katanya tidak keruan, meracau barangkali. "Sabar wahai pemuda, ceritakanlah apa yang kau lihat sepanjang hari," pujuk Nabi Musa penuh hikmah.

Lalu diceritakanlah segala yang berlaku. Betapa kantung air itu adalah milik lelaki berkuda, dan diambil atau dicuri lebih tepat, oleh seorang budak, tetapi mengapa mesti si tua yang kurang penglihatannya pula dituduh dan dibunuh? "Kamu kata tuhanmu maha melihat dan maha adil. Di manakah tuhanmu ketika itu wahai Musa?" soal si pemuda kepada Nabi Musa. "Wahai pemuda, sesungguhnya Allah itu maha luas pengetahuannya dan Dialah yang Maha Adil. Ilmunya menguasai segala perkara yang terlihat dan tersembunyi. Dan keadilannya meliputi segenap waktu dan tempat. Tahukah kamu bahawa pemuda berkuda itu baru sahaja merompak sebuah rumah? Antara benda yang dicurinya adalah kantung air yang kau lihat tadi. Dan budak lelaki yang mengambil kantung itu adalah pemilik sebenar kantung tersebut. Maka seadilnyalah dia mendapatkan kembali hartanya yang dicuri. Lagi pun, kantung itu ditemui semula oleh pemiliknya, bukanlah diambil secara tidak sah, adil kan?"Nabi Musa menerangkan duduk sebenar.

"Tapi, mengapa pula lelaki tua itu dituduh dan kemudiannya dibunuh? Dosa apakah yang menyebabkan dia menerima nasib seburuk itu? Adilkah itu?" masih tak puas hati. "Dan lelaki tua itu sebenarnya telah membunuh bapa kepada lelaki berkuda sewaktu mudanya. Tiada saksi dan bukti yang kukuh terhadap lelaki tua itu dan selama ini dia terlepas dari hukuman pemerintah. Hanya Allah yang maha mengetahui mengenai rahsia si tua itu, dan hari ini, dia telah menerima hukuman setimpal,"penerangan yang sangat jelas oleh Nabi Musa. "Nah, sekarang kamu telah lihat betapa luas pengetahuan Allah dan keadilannya. Sesungguhnya ilmu Allah itu maha luas dan kadang kala tidak tercapai oleh akal manusia. Adakah keadilan selain daripada keadilan Allah?" pertanyaan Nabi Musa yang lembut benar2 mematikan hujah si pemuda, memecah bendung keegoannya dan meruntuh tebal kejahilannya.

"Benar wahai nabi Allah. Dan aku bersaksi bahawa Dialah Allah tiada tuhan selain-Nya, dan kamu adalah utusan-Nya. Terimalah imanku..."ucap si pemuda dengan iringan air mata

1 comment:

NiaNurani said...

SubhanAllah..
Segala pujian hanya utkNya..
Allah MAHA ADIL..
kita selalu menduga di mana adilnya hidup kita..namun Allah itu amat halus penilitianNya..Setiap apa yg berlaku pd hambaNya, ada keadilan yg sedang Allah sampaikan..mungkin kita yg susah mngerti..

Related Posts with Thumbnails